Dollar kekal stabil berbanding matawang lain di pertengahan sesi dagangan Eropah hari Selasa berikutan kebimbangan terhadap prospek perang perdagangan yang diwujudkan oleh Trump semakin reda.

Indeks USD yang mengukur kekuatan greenback kini berada di paras 89.90, susut 0.06% pada jam 6.30 petang.

Ketakutan akibat isu tarif ini semakin berkurangan apabila sebahagian penganalisis melihat pengumuman Trump hanyalah salah satu taktik bagi menekan Mexico dan Kanada dalam rundingan perjanjian NAFTA semalam.

Namun begitu, para pelabur masih dalam keadaan berjaga-jaga dengan perkembangan semasa dollar, bon AS dan ekuiti sekiranya menteri di bawah pentadbiran Trump menyatakan sokongan penuh kepada cadangan tarif tersebut.

Terdapat dua faktor yang dibimbangkan sekiranya tarif ini dijalankan iaitu lonjakan inflasi secara mendadak dan tindakan yang akan diambil oleh rakan dagangan utama Amerika Syarikat seperti China dan Kesatuan Eropah.

Kedua-dua negara besar ini dijangka akan mengurangkan pegangan aset AS sekiranya tarif ini dilaksanakan.

AS bakal berhadapan pengumuman dasar kewangan yang baru kurang daripada 3 minggu dengan jangkaan kadar faedah akan dinaikkan untuk kali pertama tahun ini.

Fokus pelabur USD pada hari ini tertumpu kepada ucapan pegawai-pegawai Fed seperti Dudley yang dijadualkan berucap pada jam 8.30 malam, kemudian diikuti Brainard pada jam 6.30 pagi (Khamis) dan Kaplan pada jam 9.30 pagi esok bagi mencari petunjuk baru berkenaan dasar kewangan pada tahun ini.

The post Ucapan Pegawai Fed Fokus Pelabur USD Menjelang Penetapan Dasar Bulan Mac appeared first on CTCFM.

CTCFM

error: Content is protected !!